2 Ogos 2011

Memori 1980-an

 5 komen
Pergi sekolah punya la awal masa tuh. Pukul 6.30 kalau tak bangun memang nak kena siram dengan air la jawabnya. Mandi pulak tu tengok keluarga la. Kalau berada ada la bilik mandi. Kalau tak, pilihan samada tebing sungai atau perigi menanti anda. Dan kebiasaannya air perigi memang menterbeliakkan mata dek kesejukan melampau dan digigit embun pagi!

Sampai sekolah kena kutip sampah dulu. (Murid zaman sekarang tak buat dah kerja ni rasanya). Siap ada pengawas lagi tu. Kalau tak kutip pengawas boleh tulis nama dan buat laporan ke guru kelas masa tu. Budak-budak masa ni tengok cikgu macam tengok raksasa Gorgon dalam cerita Gaban. Takut sangat!

Kasut sekolah pada masa itu antara jenamanya Bata BM2000, BM Turbo, Pallas Jazz dan Pallas Twinkle (yang ni ada pemantul cahaya!). Ada juga yang berjiwa "rockers" memakai kasut buatan China yang high-cut!

Matapelajaran paling digemari oleh murid-murid pada masa itu semestinya Pendidikan Jasmani (sebab boleh bersukan) tapi subjek PJ ni selalunya di awal pagi. Jadi guru kelas untuk matapelajaran seterusnya terpaksa menahan bau "pekung" anak-anak murid yang belum kering peluhnya! Sukan yang sering dimainkan ialah bolasepak / bola jaring, raunders. Bagi yang terlupa bawak baju kena la tengok dari tepi padang sahaja (Rugi oo!) Belum kira lambat nak siap lagi. Kadang-kadang dekat setengah jam cikgu tu menunggu hingga kelas penuh (Tabik cikgu!)
Setiap kelas pula dibekalkan dengan papan hitam (mana ada white board lagi masa ni), kapur, pemadam papan hitam (kadang-kadang jadi bola sepak, kadang-kadang jadi peluru pengejut rakan yang tertidur dalam kelas). Apabila pemadam ini dipenuhi kapur, ianya menjadi tepu dan terpaksa dibersihkan sebelum boleh diguna kembali. Caranya dengan menepuknya di tepi longkang. Nasib tidak baik pasti muka pembersih pemadam ini akan turut terlekat serbuk putih kapur ini. Dan yang pastinya tidak lupa roti panjang kekuningan @ pembaris panjang. Kebiasaannya pembaris ini la yang kerapkali ditukar kerana cikgu yang bertugas gagal menahan emosi menggunakannya sebagai alat mendidik anak-anak murid yang degil mcam teman ni! (tak kira la anak cikgu atau bukan!) Hahaha! Selain itu pembaris ni juga digunakan sebagai alat hukuman jika gagal menyiapkan kerja, bermain dalam kelas dan segala kesalahan yang cikgu rasakan perlu dihukum. Tapi kalau kesalahan kecil biasanya hukuman paling biasa ialah berdiri di atas kerusi atau berdiri di luar kelas (malu kalau awek lalu) Hehe.

Program Susu Sekolah juga diperkenalkan bagi memberi bantuan bagi murid-murid luar bandar mendapat vitamin secukupnya. $0.30 sekotak pun ada yang kata mahal sebab dibandingkan dengan nasi lemak kantin memang agak kurang berbaloi! Hahah!

Loceng berbunyi menandakan tibanya waktu yang dinantikan semua. Pasti ramai yang berlumba ke kantin. Nasi lemak, Mi/ Bihun, Kueytiaw goreng masih lagi berharga $0.50. Air pulak $0.20. (Indahnya dunia!) Bagi murid-murid yang ibu bapanya berpendapatan rendah, Skim Rancangan Makanan Tambahan (RMT) disediakan. Namun kalau salah sorang tak datang ke sekolah, pasti akan ada pelajar lain yang bersedia menggantikan tempatnya. Hehe.

Tempat makan pula berbeza-beza. Ada yang memilih di kerusi kantin, ada yang di bawah pokok kekabu, ada yang di pondok Alat Bantuan Mengajar (makan sambil menghafal sifir).

Selesai makan ada yang ke perpustakaan. Ada juga yang main "papan gelungsur" di tepi tangga. Kadang-kadang sampai kotor belakang seluar. Kalau nasib kurang baik ditangkap cikgu pasti merah telinga dijinjit hingga ke kelas.

Oh ya. Masa ni belum ada komputer canggih mahupun mesin taip elektrik. Masih ingat lagi kelas muzik dimana cikgu memainkan kaset di radio ala boombox dan kami memegang rekorder!

Jika musim peperiksaan bermula cikgu-cikgu akan melorek soalan di atas kertas bernama "Robot". Kertas berwarna biru ini akan digolek menggunakan mesin Gestetner bagi tujuan cetakan dalam kuantiti besar. Lorekan tadi akan membentuk ruang bagi dakwat masuk dan seterusnya dicetak di atas kertas peperiksaan. Tiada istilah fotostat ketika ini. Semuanya manual.

Kemudian tiba pula musim jualan buku. Kebiasaannya syarikat yang menjual buku akan datang sehari lebih awal dan mengedarkan senarai harga dan buku yang akan dibawa pada hari esoknya. Setelah memujuk diberikan wang ekstra, jualan bermula. Biasanya buku akan dilambakkan di atas meja kantin dan murid yang ingin membeli akan meminta syarikat buku berkenaan mengambilkannya buat mereka.

Loceng dibunyikan sekali lagi menandakan tamatnya waktu persekolahan. Ketika ini sudah ramai yang menjulurkan kepala ke luar tingkat. Melihat bapa / ibu yang menanti di seberang pagar menjemput anak pulang dari sekolah. Keluar saja cikgu dari kelas semuanya bertempiaran lari. Bagaikan cirit bintang lagak lajunya! (hish masuk pulak pengaruh komik hong kong ni!)

Pulang dari rumah kebanyakan murid rehat dan makan tengah hari. Kemudian solat dan mandi. Bersedia untuk sesi persekolahan kedua.

Sekolah Agama Rakyat (SAR)!

-----------------------------------------------------

Sesi SAR biasanya bermula jam 3 petang. Masa teman mengaji dulu yurannya tak sampai $100 pun. Walaupun pada masa itu SAR tidak mendapat suntikan dana dari kerajaan, namun mereka mempunyai silibus pengajian tersendiri. Dan kebanyakan tenaga pekerjanya terdiri dari ustaz-ustaz di kampung itu sendiri.

Waktu rehat SAR kebiasaannya menandakan masuknya waktu solat Asar. Maka berpusu-pusulah kami menuju ke masjid berhampiran. Bagi yang nakal dan tinggal berhampiran masa inilah peluang keemasan untuk pulang ke rumah menonton Suria Perkasa Hitam dan Gaban. Ada yang sudi membuka pintu lebih luas agar rakan-rakan di luar dapat menyertai keseronokan menonton! (temanpun sama!)

Tapi jangan terlajak tonton. Kalau tidak merah pinggang dirotan ustaz!

Balik dari sekolah mesti singgah di kedai runcit berhampiran. Makanan ringan seperti Chickerdis, Mamee , Kum Kum, UFO, O-Ya, Bon Bon, Ding Dang (ada mainan biasanya), Singgam@chewing gum, KIKI Bubble Gum, Tora. Bagi yang banyak duit akan beli 'Ti Kam'.

Kalau dahaga boleh kongsi aiskrim pop dengan kawan. Sebab aiskrim pop ni boleh dipatah dua. Satu $0.20 jadi berbaloi kalau dikongsi. Ada juga yang beli aiskrim dari rumah rakan. Aiskrim oren, ais kacang, sirap dan diletakkan asam boi bagi menambah perisa.

-----------------------------------------------------

Pulang dari SAR semestinya waktu bermain dengan rakan-rakan. Antara permainan yang biasa dimainkan masa itu Galah Panjang, Polis Sentri, Tuju Kasut, Tuju Tin, Lompat-lompat Getah dan Konda Kondi.
- Galah Panjang guna court badminton sekolah
- Polis Sentri main di kawasan sekeliling sekolah (polis ten three one tu jaga polis mati pencuri jaga!)
- Tuju Kasut kalau dibaling guna selipar Tat Sing dijamin merah hingga ke pagi haha!
- Lompat-lompat Getah (biasa orang perempuan je main)
- Tuju Tin kena kumpul tin susu pekat dulu baru boleh main
- Konda Kondi kena ramai baru lama baru nak "mati"

Sebelum azan kena ada di rumah. Jika tidak beberapa hukuman yang mungkin kami hadapi iaitu:
- Bebel (peringkat awal. Ala-ala amaran lisan dulu)
- Kurung luar rumah (biasanya kena minta bantuan adik untuk buka pintu)
- Rotan (biasanya kalau buat berulang-kali atau sudah besar dan masih degil)

Sesi malam biasanya bermula dengan solat Maghrib dan mengaji. Namun kelonggaran diberikan pada malam Jumaat dimana kami dibenarkan ke masjid (biasanya berbasikal) dan membaca Yasin. Kebiasaannya akan ada jamuan makan selepas bacaan Yassin (peluang melepak dengan rakan-rakan)

Selesai makan malam bersama keluarga kerja rumah pula harus disiapkan. Kalau nasib kurang baik dan tiba-tiba bekalan elektrik putus terpaksalah menyiapkannya dengan bantuan lampu minyak tanah.

-----------------------------------------------------

Masa ini kalau anda memiliki konsol game TV boleh dikira mewah sangat. Mario Bros, Donkey Kong, Kontra antara permainan terhebat ketika ini. Ada satu lagi permainan tembak itik (tapi kena beli pistolnya sekali). Satu lagi revolusi masa tuh ialah permainan "Brick Game". Kalau ada permainan ni kira memang samsenglah korang. Tambah kalau dibawa balik beraya di kampung. Pasti beratur peminjam di keliling nanti!

Masih ada lagi rumah-rumah yang memiliki televisyen hitam dan putih pada masa ini. Kalau ada televisyen berwarna anda dan keluarga sudah dianggap mewah. Namun televisyennya tidak mempunyai remote. Perlu bangun untuk menukar siaran. Siaran ketika inipun belum 24jam.

Tiada istilah telefon bimbit. Senario beratur panjang dan bergayut di pondok telefon memang amat biasa ketika ini. Kalau ada unifonkadpun sudah dikira anda kehadapan dari orang lain. Telefon bimbit yang ada tak silap teman Nokia Mobira. Macam telefon askar saiz dia. Telefon Atur ada la. Itupun tahu sebab selalu tengok iklan Tukang Urut Hj. Hadi dengan gaya pegang telefon dalam akhbar Utusan. Kini di stesyen keretapi Ipoh. Hahaha!

Ayat penutup surat kebiasaannya berbunyi: pecah kaca pecah gelah sudah baca harap balas! Hahahaha! Oh ya, posmen adik-adik masih digunakan masa ini. Dan setiap penghantaran perlu dibayar 'cukai setem' bergantung atas posmennya. 

Kalau lukis gambar orang mesti pangkah leher takut nanti gambar tu hidup! Ahahaha!

Beg jerut juga merupakan satu trend di zaman ini. Kebiasaannya begnya terlukis gambar Iron Maiden, Metallica, Megadeth!

Kalau cuti sekolah, lepak di padang rumput mesti cari Jarum Emas!

Pasti akan ada rakan yang memiliki bekas pensel bertingkat satu masa dulu. Ada slot untuk pemadam, pensel, dan boleh digayakan laksana kapal angkasa!

Majalah Bujal dan Bambino merupakan majalah terkenal pada masa itu. Utusan Pelajar pula akhbar untuk murid-murid masa itu.

Pemilik televisyen perlu memiliki lesen dan perlu diperbaharui setiap tahun ketika ini!

-----------------------------------------------------

Rancangan kegemaran pada masa tuh semestinya Tarzan of Lord of The Jungle, Saber Rider and The Star Sheriff, G-Force, Transformers, He-Man, Thundercats, SilverHawk, Woody Woodpecker, Bravestarr, Chipmunks n Mickey Mouse. Teenage Mutant Ninja Turtles, Mask, Smurfs dan Voltron.

Yang perempuan pulak tentunya dengan Jem and The Hologram, She-Ra, Carebears, My Little Pony. Bagi yang remaja pastinya rancangan Scooby-Doo menjadi pilihan.

Kalau siri action hero pastinya Gaban (Space Sheriff Gavan) dan Suria Perkasa Hitam (Masked Rider Black).

Kartun-kartun Warner Bros. (Bugs Bunny, Tweety, Speedy Gonzales, Road Runner) masa ini bukan 3D, tapi lukisan tangan.

5 comments:

  1. jgn lupa time tv pendidikan..paling best dpt tgk tv time sekolah..hehe subjek paling best alam dan manusia he5

    BalasPadam
  2. Kasut Warrior tu buat gua terkenang2... minggu lepas tanya pasal kasut ni kat kedai
    apek kg gua... dah takde dah...

    - Kelkatu

    BalasPadam
  3. matakucing:
    Ya benar! bila hg sebut baru teman ingat. Nanti nak update la entry ni balik! Thanks!

    kelkatu:
    Haa... baru ingat brand kasut tuh. Kalau pakai memang tahan SYJ, Bloodshed la time tuh! Hahaha

    BalasPadam
  4. Respect and I have a swell present: What Does A Full House Renovation Cost house renovations near me

    BalasPadam

Kerane komen komer benor-benor berharge. Cer komen.. Cer komen..

Komen bergambor juge buleh dimasukkan dengan tagging berikut:
[image width="XXXpx" height="XXXpx" src="URL GAMBOR"/]