5 September 2021

Koleksi Din Teksi

 0 komen

Naskah ini teman perolehi hasil carian di dalam facebook. Koleksi asal mempunyai cover kulit berbeza. Teman percaya naskah ini telah dijild semula oleh pemiliknya (mungkin sebab koyak / tanggal). Namun apa yang penting pada teman isinya yang boleh dikatangan sukar untuk ditemui kini.

Tanpa gelak ketawa, atau sedikit senyum-senyum kambing, seminit dua dalam sehari,
idup anda akan terasa hampa, seperti pokok-pokok yang tidak berbunga. Mungkin juga
anda ada membaca komik-komik lain, sebab kini hampir semua akhbar dan
majalah-majalah ada komik-komiknya. Tetapi kalau anda tidak meminati
komik-komik ciptaan NAN maka anda masih boleh dianggap kempunan...

Dicatat oleh PAK SAKO.
(Dari komik Malaysia Kita, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. tahun 1980).

Nan mencipta nama melalui karya yang disiarkan di majalah humor dan kolum kartun khusus di akhbar terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Siri kartunnya, Din Teksi dan Malaysia Kita yang disiarkan ketika itu, cukup popular lalu menghangatkan nama Nan dalam industri kreatif tempatan. Nan juga melakar siri kartun popular Ayop Anak Tulakang dan Tuan Kecik dalam majalah humor popular, Gila-Gila dan Batu Api.

Nama penuh : Zainal bin Osman
Tarikh lahir : 24 Mei 1952
Asal : Parit Buntar, Perak
Status : Berkahwin dan dikurniakan empat orang anak
Kuih kegemaran: Cucuq Kodok (Jemput-jemput)

(Kredit pada blog: Bluesriders)


Sudah hampir 20 tahun anda tidak menghasilkan kartun di akhbar atau majalah, apa perkembangan terkini anda?

Sekarang, saya lebih tertumpu kepada kerja membabitkan pengiklanan. Ini meliputi kerja rekaan grafik, ilustrasi dan penerbitan. Sudah lama saya membabitkan diri dalam kerja begini.

Sejak berhenti melukis kartun, saya tubuhkan sebuah syarikat grafik pengiklanan yang beroperasi kira-kira 10 tahun tetapi disebabkan masalah kekurangan tenaga kerja, syarikat terpaksa ditutup. Lalu saya terus membuat kerja dari rumah.


Mengapa anda beralih dari kartun ke bidang pengiklanan?

Inilah minat saya sebenarnya. Lagipun, saya fikir ketika itu, sudah tiba tahap atau high time untuk saya (terus berkecimpung) dalam melukis kartun. Sudah tiba masanya untuk generasi baru bergiat dalam bidang ini, lagipun bilangan kartunis semakin ramai.


Boleh anda ceritakan, bagaimana timbul idea mencipta watak untuk siri Ayop Anak Tulakang dalam majalah Gila-Gila?

Itu memang dihasilkan khusus untuk majalah Gila-Gila. Disebabkan mereka meminta saya menghasilkan kartun bersiri, saya perlu mereka cerita dan watak bersiri.

Saya memang sukakan watak budak-budak yang banyak kerenah, tidak berpenghujung dan pemikiran mereka juga bebas. Dari situlah datangnya watak Ayop, seorang budak yang berasal dari Kampung Tulang Belakang.

Ayop dikenali kerana kemahiran mengurut yang memberi sumber pendapatan untuknya.


Bagaimana anda mengembangkan cerita dalam siri kartun dan apakah kesudahan cerita Ayop Anak Tulakang?

Dalam menghasilkan kartun yang bersiri atau bersambung, tidak dapat tidak, kita perlu memperbesarkan-besar dan mereka-reka ceritanya. Berbagai cerita diselitkan walaupun kadangkala tidak logik, tetapi kita jadikan ia logik. Misalnya kisah Ayop berniaga katak di padang pasir untuk panggil hujan.

Namun, itulah sayangnya, apabila terbit Batu Api, ia menjadi saingan dengan Gila-Gila. Ketika itu, siri ini berhenti begitu saja.

Di Batu Api, saya cipta kartun baru iaitu Tuan Kecik di mana kisahnya mengenai budak-budak. Lalu kisah Ayop tergantung begitu saja. Saya pun tidak pasti apa kisah terakhirnya. Kalau tak silap, ceritanya sampai ke peringkat Ayop menjual senjata.


Mengapa anda berhenti melukis selepas Batu Api?

Mungkin disebabkan sudah letih hendak melukis kartun, letih mencari idea dan sebagainya. Kerja pengiklanan lebih bebas sedikit tetapi cabarannya lain pula.

Orang kata, jika melukis kartun, kita melayan otak sendiri. Tetapi dalam bidang pengiklanan, kita terpaksa melayan kehendak dan selera orang, jadi susah sikitlah. Lalu, saya kembali menawarkan perkhidmatan berkaitan bidang pengiklanan bersama rakan kongsi.

Dalam situasi kerjaya kartunis tempatan, ada yang masih kekal sebagai kartunis dan ada yang beralih bidang. Bagaimana anda boleh membuat keputusan untuk meninggalkan bidang ini?

Dulu, bidang kartun ibarat periuk nasi bagi saya. Tetapi sekarang, ia lebih kepada hobi… Bukanlah tidak melukis langsung. Apabila ada permintaan, saya akan hasilkan karya.

Cuma disebabkan kesibukan kerja pengiklanan, saya agak takut berjanji dengan mereka yang meminta karya saya. Ini kerana saya faham, mereka di akhbar atau majalah bekerja berdasarkan deadline. Saya bimbang tak dapat tepati waktu yang ditetapkan.

Mengenai segelintir kartunis yang masih setia dengan kerjaya, mungkin itu sudah menjadi kelebihan mereka dan sumber rezeki.


Antara semua bidang yang anda ceburi, mana satu paling serasi dengan jiwa?

Bagi saya, yang kena dengan jiwa saya adalah kerja pengiklanan dan penerbitan. Kurang sikit ‘pecah kepala’. Lagipun, apabila melihat hasil akhir buku yang diterbitkan, kita akan merasa puas.

Ini kerana semuanya kita lakukan sendiri… Baik artikel, susun letak halaman dan sebagainya. Banyak pengalaman ketika bekerja dengan syarikat penerbitan saya gunakan apabila bekerja sendiri.

Cara kerja kartunis dulu, kita melalui setiap peringkat proses penghasilan sesebuah kartun. Jadi, kita bangga kerana karya yang direka adalah 100 peratus hasil kerja kita.


0 comments:

Catat Ulasan

Kerane komen komer benor-benor berharge. Cer komen.. Cer komen..

Komen bergambor juge buleh dimasukkan dengan tagging berikut:
[image width="XXXpx" height="XXXpx" src="URL GAMBOR"/]